Assalamualaikum.....
Alhamdulillah... Bersyukur kehadrat Ilahi kerana aku telah diberi kesempatan untuk mencoretkan sesuatu di dalam naskhah ini. Aku ingin sekali berbicara 'Tentang Bulan'. Hari ini 21 Ramadhan 1431H. Damai sungguh waktu ini. Sunyi pagi ini membuatkan hatiku ingin berbicara tentangnya. 21 Ramadhan.... Aku berada di 10 malam terakhir Ramadhan. Terasa gembira bersulam sedih di hati. Gembira, kerana Allah masih memeberikan aku nikmat-nikmatNya yang membolehkan aku menyusuri hari-hari terakhir di bulan ini. Sedih, kerana aku bakal ditinggalkan oleh bulan yang cukup istimewa ini. Masih adakah umurku untuk bulan Ramadhan pada masa akan datang?

Bulan Ramadhan adalah lebih baik dari seribu bulan. Allah taala telah berfirman yang bermaksud:
'Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatut semua urusan.Sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar.'                                                                 (Surah Al-Qadr:1-5)


Aku pernah terfikir. Berapa ramaikah lagi insan yang sudi menghidupkan malam-malam terakhir dalam bulan ini?. Kehidupan yang acapkali dihuni dengan kesibukan dunia. Kepenatan menjadi asbab alpa dan leka daripada mempersiapkan diri dengan ibadah mendekatkan diri kepadaNya. Kelekaan ini semakin meracuni jasad dan jiwa. Hilang seri Ramadhan kerana hilang sensitiviti tentangnya.

Di awal Ramadhan, terngiang-ngiang bacaan ayat suci Al-Quran bergema di setiap penjuru kawasan. Bagai suatu pesta yang rancak dengan alunan suci ayat Al-Quran. Tetapi, gema itu semakin hilang. Hilang ditelan waktu yang terus meninggalkan. Tarbiah Ramadhan yang diharapkan hanya mekar di awal Ramadhan. Tetapi pudar dipertengahannya dan hilang diakhirnya. Bulan itu semakin meninggalkan dan terus meninggalkan.

Adakah kita masih sedar dimana kita meletakkan darjat bulan yang mulia ini. Adakah sekadar satu bulan yang disambut meriah diawalnya dan dibiarkan hambar diakhirnya. Atau bulan yang sering kali diserikan detik-detiknya dengan amalan mendekatkan diri kepadanya. Yang dinamakan manusia, memang tidak pernah tertinggal dengan sifat pelupanya. Dan sebagai manusia juga tidak akan tertinggal dengan sifat mengingatkan antara satu dengan yang lainnya. Aku juga pelupa selaku manusia biasa. Tetapi aku cuba untuk mengingati dan mengamati semula kealpaanku. Aku rasakan, tiada waktu lagi buatku. Untuk lupa dan terus berbua-buat lupa. Bulan itu teus meninggalkan kita. Ayuh sedar dan bangkitlah semula untuk menghidupkannya semula. Jangan biarkan ia pergi tanpa pertemuan malam pertama yang dipenuhi zikir dan dihiasi bunga-bunga cinta Ilahi.

Semoga coretanku membawa ruangan baru untuk kita bermuhasabah mencari seribu satu keindahan di bulan ini.

Tentang Bulan......

Bahtera hidupku terus belayar,
merempuh ombak-ombak ganas,
Menempuh siang dan malam,
Tanpaku sedar tentang bulan itu....

Bulan itu singgah sebentar di dalam kelekaan pelayaranku,
Ingin sekali aku menyambut dengan penuh syukur,
Aku cuba,
Tapi kelekaan itu merajai duniaku,
sehingga hilang malam-malamku ditelan masa yang rakus,

Tiba-tiba aku tersedar dari keasyikan itu,
Aku teringat tentang bulan itu,
Masih berbaki di akhir waktu,
Aku cuba mencari satu malam barakah disebalik bulan itu,
Layakkah aku bertemu dengannya selepas ketewasanku di awalnya,
Aku hanya mampu meminta dan memohon dari yang emunya nikmat itu,

Sedarku ini cahaya dariNya,
Sedarku Tentang Bulan indah dari biasa,
Harapku, ombak tak akan mengganas lagi,
hingga aku lupa tentang bulan,
Biar bulan itu jadi saksiku,
Tentang cintaku pada Rabbku,
Yang Maha Pengasih terhadapku......

ratu88

0 comments:

Post a Comment

About this blog

Followers